Saturday, January 19, 2013

Taklimat Bantuan RM100 murid

Assalamualaikum kepada semua pembaca....
Nampak gayanya bantuan persekolahan Rm100 untuk pelajar sekolah mula diberikan sejak pembentangan bajet 2012 tidak terhenti setakat itu sahaja.  Rakyat Malaysia khususnya bagaikan mendapat durian runtuh setiap tahun.  Bantuan ini diteruskan juga dalam siri bajet 2013 kali ini dengan nilai yang sama..

Ini adalah sedikit butiran tentang Bantuan RM100 untuk pelajar sekolah: 

  • Diberikan kepada semua pelajar sekolah Rendah & sekolah Menengah (5.4 juta pelajar)
  • Bantuan RM100 untuk pelajar sekolah ini akan mula dibayar bermula Januari 2013
  • Peruntukkan sebanyak RM540 juta
Justeru untuk memastikan  lagi pembahagian bantuan tersebut berjalan dengan lancar dan teratur, pihak sekolah mengambil langkah awal dengan mengadakan Taklimat Bantuan Awal Persekolahan.  Taklimat ini diadakan pada 17 Januari yang lalu pada pukul 8.30 pagi bertempat SK Nunuyan Laut. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh En. Mohd Busrah Nordin (Guru Besar), Tn Hj Jawila Hj Nawang (YDP PIBG), En. Esnan Sayuti (GPK HEM), En. Ramanshah HJ Sahrun (GPK KOKUM) dan telah dipengerusikan oleh En. Kelana Hj Hamros (GPK Pentadbiran).  Kehadiran ibu-ibu dan bapa-bapa murid pada hari tersebut sangat memuaskan.  Gambar dibawah ini merupakan suasana pada hari taklimat tersebut yang sempat saya kandid..


Dalam taklimat tersebut, YDP PIBG sempat berpesan kepada para hadirin supaya memanfaatkan bantuan tersebut untuk keperluan murid sepenuhnya.  Turut menyampaikan ucapan ialah Guru Besar SKNL.  Beliau berpesan kepada ibu bapa supaya membawa dokumen yang diperlukan supaya penyerahan bantuan tersebut berjalan dengan lancar.  Taklimat tersebut berakhir pada pukul 10.00 pagi.

Semoga dengan adanya bantuan tersebut,  dapat meringankan beban ibu bapa untuk menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka terutamanya alat kelengkapan belajar.  
Salam dari penulis....

Wednesday, January 16, 2013

Perhimpunan 2013

Salam kepada semua pembaca.. Gambar yang anda sedang lihat sekarang ini ialah Perhimpunan rasmi sekolah yang diadakan pada setiap hari Isnin setiap minggu persekolahan.  Semasa gambar ni diambil, murid-murid sedang membaca ikrar pelajar yang diketuai oleh adik Nirwan Shah Nursi dari tahun 4.  Perhimpunan ni merupakan perhimpunan kali ke-2 untuk tahun 2013.  

Gambar di atas pula ialah ucapan alu-aluan  dan amanat daripada Tuan Guru Besar iaitu En. Mohd Busrah Nordin.  Dalam ucapannya, beliau amat berbangga kepada kehadiran murid-murid yang sangat memberangsangkan.  Beliau juga memuji murid-murid yang ditugaskan untuk menjayakan perhimpunan tersebut iaitu murid-murid tahun 3 dan juga tahun 4 yang bertugas menjadi pengacara majlis perhimpunan, mengetuai ikrar, mengetuai bacaan doa dan memimpin nyanyian lagu wajib perhimpunan.  Menurut beliau,  murid-murid yang bertugas menjalankan tugas dengan baik majlis perhimpunan berjalan dengan lancar.   Tambah beliau lagi mereka ini harus dijadikan contoh kepada semua murid dalam menerapkan sifat keyakinan dan kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan tugas yang diberi.

Semasa perhimpunan ini,  Ustaz Rosli selaku guru disiplin sekolah telah mengumumkan perlantikan pengawas-pengawas sekolah yang telah dipilih. Semua pengawas yang telah dipilih telah diberi sijil perlantikan, buku peraturan sekolah dan juga lencana pengawas yang disampaikan sendiri oleh guru besar.
Gambar di atas merupakan Ketua Murid dan juga Penolong Ketua Murid yang diberi tanggungjawab mengetuai unit pengawas sekolah.  Pada tahun ini adik Mohd Alif Mohd Busrah telah dipilih menjadi Ketua Murid dan adik Nurul Amira Kelana dipilih menjadi Penolong Ketua Murid.

Inilah dia pengawas-pengawas SKNL yang diberi tanggungjawab untuk memastikan peraturan sekolah dipatuhi.  Diharapkan murid-murid yang terpilih ini menjalankan tanggungjawab mereka dengan jujur dan bertanggungjawab serta menjadi contoh yang baik kepada rakan-rakan mereka yang lain.. 
Selamat Menjalankan Tugas, syabas dan tahniah kepada semua pengawas SKNL..

~~Ciri orang yang beradab ialah dia sangat rajin dan suka belajar, dia tidak malu belajar daripada orang yang berkedudukan lebih rendah darinya ~~ Confucius ~~


Mesyuarat Agung SKNL

Dari kiri : PK Kokum, PK HEM, Guru Besar, PK Pentadbiran

Pada 11 Januari 2013, bertempat di kelas tahun 1 SK Nunuyan Laut, sekali lagi mesyuarat agung sekolah diadakan bagi membincangkan semula hal-hal berbangkit dalam bahagian kurikulum, kokurikulum dan juga hal ehwal murid.  Mesyuarat tersebut bermula pada pukul 1.50 pm dan berakhir pada pukul  4.30 pm. Beberapa hal berbangkit dibincangkan semula untuk mendapatkan kata sepakat  semua warga SKNL.  Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh PK Pentadbiran iaitu En. Kelana Hj Hamros, Guru Besar iaitu En. Mohd Busrah Nordin menyeru kepada semua guru untuk bekerjasama meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan UPSR pada tahun ini dan juga prestasi keseluruhan sekolah.  Beliau berharap program yang telah dirancang bagi mencapai matlamat tersebut, berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama daripada semua guru.  Selain daripada itu, beliau mengingatkan kepada semua guru agar sentiasa memastikan buku rekod mengajar dikemaskini dan dihantar untuk disemak tepat pada waktunya.  Sementara PK HEM, En. Esnan Sayuti pula menyuarakan tentang pendaftaran masuk tahun 1, bantuan untuk murid, pengemaskinian data murid dan juga lembaga disiplin.  Manakala PK Kokurikulum iaitu En. Ramanshah Hj Sahrun pula membentangkan perubahan dalam carta organisasi Kokurikulum dan persiapan lain untuk aktiviti kokurilum seperti 1m1s, perkhemahan, sukantara dan kejohanan sukan tahunan.

Di akhir mesyuarat, PK Pentadbiran mengingatkan semua guru sekali lagi agar tidak memandang remeh pada tugas dan tanggungjawab masing-masing dan mengambil berat amanat yang disampaikan oleh guru besar.  Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang hadir untuk mesyuarat tersebut.

Saturday, January 12, 2013

Salam 2013



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi kerana diberikan kesempatan untuk berkongsi  ilmu di dalam blog ini.  Tahun 2012 telah pun berlalu dengan meninggalkan 1001 kesan, kenangan yang pahit dan manis, suka dan duka gembira dan tawa, sedih dan tangisan dan macam2 lagi yang telah berlalu bersama-sama dengan tahun 2012.  
Tahun 2013 membuka tirainya untuk kita sama-sama memperbaiki kelemahan dan kita belajar memperbaiki diri dari  kesilapan yang telah kita lakukan.   Kita manusia insan yang lemah tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Wallahu a’lam.  Tapi, kesilapan yang sama berulang lagi menunjukkan betapa kita tidak tahu untuk berubah dan sama seperti gambaran peribahasa  "katak bawah tempurung".  
Mungkinkah tahun 2013 menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita?  Mungkin ya kalau nawaitu kita berada di landasan yang betul dan mungkin juga tidak apabila kelalaian  sudah berjalur lebar dalam pemikiran hati nurani kita.  Walau apa pun, diharapkan  pada tahun ini , hijrah kita membuka tirai baru untuk menjadi manusia yang lebih baik dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai insan  yang diamanahkan oleh-Nya... InsyaAllah....
Untuk warga SKNL, semoga tahun ini memberi ruang sesama kita untuk memperbaiki diri dan bersama-sama mengejar kejayaan.  Gandakan Usaha dan galas lah tanggungjawab kita dengan penuh amanah dan dedikasi.  Semoga apa yang kita rancangkan tahun ini  berjaya di capai dan di laksanakan.. ... dengan izin-Nya jua.. InsyaAllah..
Sehingga bertemu lagi dengan khabar berita dari pulau di masa hadapan..salam 2013, salam 1 malaysia.. Assalamuaikum Wbt.....