Wednesday, June 23, 2010

Penilaian & Peperiksaan (LPM)

Kerajaan bercadang memperkenalkan format baru Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) , yang 50% pemarkahannya dibuat berdasarkan penilaian berterusan prestasi murid dalam pelbagai aspek selain peperiksaan , mulai 2010.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata format baru itu antara lain merangkumi pengurangan peperiksaan , penilaian berterusan pada peringkat sekolah , taksiran psikometrik dan taksiran peringkat pusat terhadap aktiviti sukan serta kokurikulum.

"Sistem yang digunakan dalam UPSR kini mungkin akan dihapus setengah atau kurikulumnya dirombak, tetapi ia banyak bergantung kepada kemampuan guru membuat penilaian serta taksiran pada peringkat sekolah.


"Matlamatnya ialah penerapan nilai asas di mana murid mulai sekolah rendah mesti kreatif, aktif serta berpemikiran kritikal. Mereka juga perlu menguasai bahasa Inggeris dan bahasa lain seperti Mandarin dan Arab.

"Aktiviti luar seperti kokurikulum, sukan dan disiplin akan diserapkan daripada awal sebelum memasuki sekolah menengah kerana apabila dewasa, kita tak mahu mereka lemah dan akhirnya jadi graduan menganggur,"katanya.

Hishamuddin berkata, jika cadangan itu dilaksanakan , format UPSR yang berasaskan peperiksaan sejak 20 tahun lalu , akan berubah.

Beliau berkata, kajian mengenai cadangan itu dibuat sejak dua tahun lalu dan kini diperluaskan bagi dilaksanakan menjelang 2010, sebaik tempoh pelaksanaan Pelain Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) berakhir.

Kajian terperinci format itu dilakukan Bahagian Pendidikan Guru dan Pusat Pembangunan Kokurikulum di kementeriannya yang menilai kemampuan guru melaksanakannya serta tahap penerimaan murid.

"Saya harap perubahan itu dilakukan menjelang 2010 iaitu sehingga tempoh pelaksanaan PIPP dan kita mahu perubahan semua aspek termasuk persediaan guru, peperiksaan dan kokurikulum dalam usaha melakukan reformasi pendidikan negara , " katanya.

Difahamkan, format baru itu akan dilaksanakan menerusi projek perintis membabitkan beberapa sekolah kluster dan terpilih mulai tahun depan , sebelum diperluaskan kepada lebih 7000 sekolah rendah seluruh negara.

Penilaian berterusan akan dibuat sepenuhnya oleh guru terhadap murid sebaik memasuki Tahun 1 hingga 6 berdasarkan panduan piawaian yang ditetapkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Berdasarkan format baru itu, murid yang tidak menghadiri peperiksaan kerana sakit , tetap diberi markah berdasarkan penilaian guru dan prestasi sepanjang persekolahan ."


sumber : Berita