Wednesday, January 16, 2013

Perhimpunan 2013

Salam kepada semua pembaca.. Gambar yang anda sedang lihat sekarang ini ialah Perhimpunan rasmi sekolah yang diadakan pada setiap hari Isnin setiap minggu persekolahan.  Semasa gambar ni diambil, murid-murid sedang membaca ikrar pelajar yang diketuai oleh adik Nirwan Shah Nursi dari tahun 4.  Perhimpunan ni merupakan perhimpunan kali ke-2 untuk tahun 2013.  

Gambar di atas pula ialah ucapan alu-aluan  dan amanat daripada Tuan Guru Besar iaitu En. Mohd Busrah Nordin.  Dalam ucapannya, beliau amat berbangga kepada kehadiran murid-murid yang sangat memberangsangkan.  Beliau juga memuji murid-murid yang ditugaskan untuk menjayakan perhimpunan tersebut iaitu murid-murid tahun 3 dan juga tahun 4 yang bertugas menjadi pengacara majlis perhimpunan, mengetuai ikrar, mengetuai bacaan doa dan memimpin nyanyian lagu wajib perhimpunan.  Menurut beliau,  murid-murid yang bertugas menjalankan tugas dengan baik majlis perhimpunan berjalan dengan lancar.   Tambah beliau lagi mereka ini harus dijadikan contoh kepada semua murid dalam menerapkan sifat keyakinan dan kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan tugas yang diberi.

Semasa perhimpunan ini,  Ustaz Rosli selaku guru disiplin sekolah telah mengumumkan perlantikan pengawas-pengawas sekolah yang telah dipilih. Semua pengawas yang telah dipilih telah diberi sijil perlantikan, buku peraturan sekolah dan juga lencana pengawas yang disampaikan sendiri oleh guru besar.
Gambar di atas merupakan Ketua Murid dan juga Penolong Ketua Murid yang diberi tanggungjawab mengetuai unit pengawas sekolah.  Pada tahun ini adik Mohd Alif Mohd Busrah telah dipilih menjadi Ketua Murid dan adik Nurul Amira Kelana dipilih menjadi Penolong Ketua Murid.

Inilah dia pengawas-pengawas SKNL yang diberi tanggungjawab untuk memastikan peraturan sekolah dipatuhi.  Diharapkan murid-murid yang terpilih ini menjalankan tanggungjawab mereka dengan jujur dan bertanggungjawab serta menjadi contoh yang baik kepada rakan-rakan mereka yang lain.. 
Selamat Menjalankan Tugas, syabas dan tahniah kepada semua pengawas SKNL..

~~Ciri orang yang beradab ialah dia sangat rajin dan suka belajar, dia tidak malu belajar daripada orang yang berkedudukan lebih rendah darinya ~~ Confucius ~~


Mesyuarat Agung SKNL

Dari kiri : PK Kokum, PK HEM, Guru Besar, PK Pentadbiran

Pada 11 Januari 2013, bertempat di kelas tahun 1 SK Nunuyan Laut, sekali lagi mesyuarat agung sekolah diadakan bagi membincangkan semula hal-hal berbangkit dalam bahagian kurikulum, kokurikulum dan juga hal ehwal murid.  Mesyuarat tersebut bermula pada pukul 1.50 pm dan berakhir pada pukul  4.30 pm. Beberapa hal berbangkit dibincangkan semula untuk mendapatkan kata sepakat  semua warga SKNL.  Dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh PK Pentadbiran iaitu En. Kelana Hj Hamros, Guru Besar iaitu En. Mohd Busrah Nordin menyeru kepada semua guru untuk bekerjasama meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan UPSR pada tahun ini dan juga prestasi keseluruhan sekolah.  Beliau berharap program yang telah dirancang bagi mencapai matlamat tersebut, berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama daripada semua guru.  Selain daripada itu, beliau mengingatkan kepada semua guru agar sentiasa memastikan buku rekod mengajar dikemaskini dan dihantar untuk disemak tepat pada waktunya.  Sementara PK HEM, En. Esnan Sayuti pula menyuarakan tentang pendaftaran masuk tahun 1, bantuan untuk murid, pengemaskinian data murid dan juga lembaga disiplin.  Manakala PK Kokurikulum iaitu En. Ramanshah Hj Sahrun pula membentangkan perubahan dalam carta organisasi Kokurikulum dan persiapan lain untuk aktiviti kokurilum seperti 1m1s, perkhemahan, sukantara dan kejohanan sukan tahunan.

Di akhir mesyuarat, PK Pentadbiran mengingatkan semua guru sekali lagi agar tidak memandang remeh pada tugas dan tanggungjawab masing-masing dan mengambil berat amanat yang disampaikan oleh guru besar.  Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang hadir untuk mesyuarat tersebut.