Salam semua...
Setelah sekian lama, akhirnya suasana hari Perkhemahan Unit Beruniform (PUB) yang ditunggu-tunggu oleh murid tahap 2 akan menjelang tiba pada hujung minggu ini. Kali terakhir SKNL mengadakan perkhemahan adalah pada tahun 2009. Syukur Alhamdulillah, pada tahun ini pihak sekolah dapat mengatasi beberapa kekangan dan berusaha untuk mengadakan perkhemahan Unit Beruniform. Hari ini, beberapa orang guru & AKS yang bertugas turun padang untuk membeli peralatan yang telah dibajetkan dalam kertas kerja perkhemahan. Walaupun peralatan yang dibeli masih belum lengkap sepenuhnya, tapi memadai untuk persiapan awal. Murid-murid pula rasanya sudah membuat persiapan dan tidak sabar-sabar untuk berkampung di padang sekolah untuk merasai pengalaman berkhemah bersama kawan-kawan yang lain. Seperti juga murid, guru-guru dan AKS SKNL juga tidak ketinggalan untuk membuat persediaan perkhemahan.
Perkhemahan sebenarnya mengajar banyak perkara kepada murid-murid dan juga seluruh warga sekolah. Kepada murid contohnya, aspek Pengurusan Masa dan Disiplin adalah yang paling penting semasa perkhemahan dijalankan. Semasa di rumah murid menguruskan diri dan masa sendiri. Tetapi apabila berada dalam perkhemahan murid diajar mengikuti disiplin dan masa yang ditetapkan. Kerjasama juga adalah salah satu aspek penting yang perlu di pelajari oleh murid terutamanya kerjasama sebagai satu kumpulan. Murid mesti faham apa itu kerjasama yang baik dan padu bak kata pepatah "Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh".
Walau apa pun, saya sebagai salah seorang warga sekolah berharap perkhemahan kali ini berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancangkan dan objektif perkhemahan akan tercapai.
Semoga berjaya diucapkan kepada AJK pelaksana PUB dan Selamat berkhemah kepada anak-anak watan SKNL..
No comments:
Post a Comment